Jom Cuba!! MANDELA...restoran popular di sini


Jom Cuba!!
Restoran Mandela terletak di kawasan Penerok. Anda akan bertemu dengan bandar Penerok terlebih dahulu kemudian selepas jambatan (jika anda dari arah bandar Pontian ke Kukup),anda perlu membelok ke lorong sebelah kiri. Terdapat papan tanda "Mandela" di situ. Teruskan perjalanan sehingga anda berjumpa dengan papantanda Mandela yang meminta anda membelok ke kanan. Jalan terus sehingga lebih kurang 100 meter,Restoran Mandela terletak di sebelah kiri anda bersebelahan dengan jalan.
Jika anda tidak tahu anda boleh bertanya dengan penduduk setempat. Restoran Mandela adalah di antara Restoran yang agak popular di kawasan Pontian.
Tetapi jika anda ingin menikmati ketam, di sini tidak disajikan ketam. Anda boleh ke Kukup. Lain kali saya akan bawa anda makan-makan di Kukup pula.
Di antara sajian di sini ialah Sotong Goreng Tepung,Ikan Siakap mengikut masakan yang anda mahukan, Puyuh (Puyuh masam manis,Puyuh sambal dan dua lagi jenis masakan), Sayur,pelbagai jenis tom yam dan lain-lain.
Kali ini kami memilih beberapa jenis lauk untuk di makan sekeluarga.

PEMBUKA SELERA. KACANG DAN OTAK-OTAK.


DAN MINUM AIR SIRAP BANDUNG AIS.

Ada banyak pilihan air minuman termasuk jus dan minuman berkarbonat.


NASI YANG DIHIAS CANTIK.


IKAN SIAKAP MASAK TIGA RASA.


SOTONG GORENG TEPUNG.


TOM YAM CAMPUR.


KAILAN IKAN MASIN


TOM YAM UDANG (Anda boleh rasa kelembutan dan kesegaran udang ini. Memang sedap!)









Selamat Mencuba!!



Mari melawat ladang nenas dan kelapa sawit..



Ramai penduduk Pontian juga terdiri dari para petani dan pekebun kecil. Kelapa sawit, nenas, getah dan kopi adalah di antara tanaman yang banyak terdapat di sini.
Walaubagaimanapun Nenas merupakan antara mercu tanda Pontian. Anda boleh jumpa replika nenas di bandar Pekan Nenas, Bandar Baru Pontian dan di simpang empat berhadapan dengan balai polis lama Pontian.



Walaubagaimanapun disebabkan kenaikan harga kelapa sawit tidak lama dulu terdapat beberapa ladang nenas yang sudah bertukar menjadi ladang kelapa sawit.
Dahulunya juga terdapat sebuah kilang nenas di kawasan Parit Sikom tetapi ditutup sejak beberapa tahun dahulu.
Selesai tamat sekolah menengah sementara menunggu tawaran belajar saya pernah cuba bekerja sementara. Hanya tahan selama tiga hari sahaja. Kerjanya memang sangat teruk dan berat. Belum ditambah lagi dengan air nenas yang amat tidak selesa dan melekit.Itu 12 tahun yang lalu, sekarang kebanyakan pekerja kilang tersebut mungkin sudah tidak lagi bekerja.
Ladang nenas yang dahulu pekerjanya terdiri dari warga tempatan kini juga telah berubah wajah. Kebanyakan yang bekerja ialah buruh dari Indonesia. Kebanyakan anak muda tempatan lebih gemar dengan kerja profesional, teknikal ataupun pekerjaan dalam bidang industri.

Jika anda ingin melihat pemandangan di ladang nenas yang luas terbentang, anda boleh memandu ke kawasan Kayu Ara Pasong.





Tanjung Piai... paling selatan di Benua Asia



Jangan tak tahu. Tanjung Piai merupakan penghujung tanah benua asia. Di sini terdapat hutan paya bakau yang menjadi penapis kepada sampah dari lautan dan juga merupakan benteng kepada hakisan. Namun melalui tinjauan saya yang terakhir, saya dapati beberapa bahagian di kawasan tumpuan pelawat mengalami hakisan yang teruk. Banyak pokok-pokok bakau yang mati dan kedudukan pantai semakin menghampiri kawasan darat.





Berbalik kepada cerita asal.

Terdapat dua laluan Tanjung Piai. Laluan pertama menuju ke tempat penginapan dan restoran makanan laut. Di sini semuanya berada di atas laut.

Mengenai penginapan terlebih dahulu. Terdapat bilik-bilik penginapan, hostel dan rumah yang disewakan kepada pengunjung. Kadarnya tidak terlalu mahal. Kemudahan yang ada di tahap asas seperti bilik air,tandas,hawa dingin dan TV. Hostel pula hanya disediakan tempat tidur,bilik air, tandas dan kipas. Jika anda cepat atau datang ketika tidak ramai pengunjung anda boleh memilih bilik yang menghadap ke lautan luas. Anda boleh menyaksikan matahari terbit dari tingkap bilik anda.
Tips:Jangan pilih bilik menghadap bahagian restoran. Jika ada sesi karaoke,anda mungkin akan terganggu.





Menariknya ialah anda tidur dengan bunyi ombak dan angin laut yang bertiup deras.

Di sini juga tempat yang digemari kaki-kaki pancing. Jika anda kaki pancing, bawalah kawan-kawan datang ke sini.

Restoran menyediakan sarapan pagi percuma bagi mereka yang menginap disini. Tidak banyak pilihan untuk sarapan pagi. Namun begitu menu bagi waktu-waktu lain saya rasa menarik. Anda boleh cuba dari ikan sehinggalah ketam yang besar dan segar. Harganya berpatutan dengan makanan yang anda pesan.
Mungkin anda boleh cuba sup ketam atau ketam masak lada hitam. Disebabkan ianya segar jadi isinya lebih banyak dan manis.

Sekarang beralih kepada laluan yang kedua pula. Anda boleh gunakan laluan pertama dan naik train yang disediakan untuk ke Tamana Negara tanjung Piai atau memandu masuk ke laluan kedua menggunakan kereta. Anda akan sampai di kaunter tiket untuk masuk ke kawasan Taman Negara. Jika anda pergi tepat dengan masanya anda akan lihat monyet berkeliaran di sekeliling anda.
Tips:Jangan tunjukkan rasa takut. Jangan cuba mengusik monyet. Sila bawa payung atau kayu untuk menakutkan mereka. Jangan pukul atau mengacukan kayu/payung ke arah monyet.
Anda boleh jalan terus ke hujung anjung dan melihat kapal belayar.
Atau anda boleh mengikuti pelantar pelawat melewati paya bakau. Jika anda ke kiri dan berjalan terus anda akan berjumpa dengan pelantar besar dengan sebiji replika bumi. Dan jika anda berjalan ke kanan anda akan masuk ke dalam hutan paya bakau.

Tersebutlah kisah sejarah Pontian

"Berakit-rakit ke tengah sungai
Bersama joran memancing ikan
Walaupun pantai dilanda badai
Sejarah kita jangan dilupakan"

"Paya bakau indah di tepian
Tempat sang monyet bergayutan
Bandar Pontian bandar perhentian
Pusat tumpuan zaman berzaman"

"Dulunya hutan rimba daun merimbun
Kini menjadi kota kecil tempat berhimpun
Nelayan di pantai dan petani di kebun
Semua hidup bahagia aman serumpun"

"Masa bergerak seiring kemajuan
Pontian alami banyak perubahan
Generasi muda maju ke depan
Tonggak baru peneraju zaman"

Di mana Pontian ni?

Pontian terletak di Johor negeri yang paling Selatan dalam peta Malaysia. Ia terletak lebih kurang 62km dari bandaraya Johor Bahru.
Dari Johor Bahru,anda boleh datang ke Pontian melalui Highway Perling ke Gelang Patah. Di penghujung higway ikut papan tanda ke Pontian dan ikut jalan tersebut terus sehingga keluar ke Jalan Raya utama ke Pontian. Susur kiri dan terus sehingga anda bertemu dengan Pekan Nenas. Kemudian ikut jalan tersebut terus sehingga ke bandar Pontian lebih kurang 15~20 minit.
Alternatif lain ialah melalui jalan hadapan Universiti Teknologi Malaysia. Jalan ini sebenarnya lebih jauh dan lebih banyak trafik. Anda hanya perlu mengikut papan tanda sahaja untuk terus ke Pontian.
Jika anda menaiki kapal terbang,anda akan tiba di Senai dan perlu mengambil teksi ke Pontian. Perjalanan teksi dari Senai ke Pontian mengambil masa lebih kurang 45minit~1 jam.
Jika anda menaiki kereta api, anda akan tiba di bandar Kulai. Anda perlu mengambil teksi ke Pontian. Perjalanan lebih kurang 45minit ~1 jam.
Bandar utama daerah ini ialah Pontian Kechil.
Jika anda membaca WIKIPEDIA, ada dinyatakan yang Pontian kebanyakannya terdiri daripada paya bakau dan pekerjaan utama ialah nelayan. Tidak begitu tepat sebenarnya.
Sebenarnya lebih ramai yang bekerja kampung berbanding nelayan. Jika anda datang ke Pontian, anda akan lihat pokok kelapa sawit dan getah di kiri dan kanan anda.
Nenas pula kebanyakan ditanam oleh pengusaha ladang atau syarikat besar.
Masa telah berubah dan Pontian sekarang banyak berbeza dengan Pontian yang saya kenali dulu.
Generasi muda lebih ramai berminat meneroka bidang profesional, vokasional, teknikal dan bidang pekerjaan dalam industri. Kebanyakan ladang dan kebun yang ada biasanya diusahakan dengan bantuan buruh dari negara seberang.
Di Pontian orang Melayun ya kebanyakannya berketurunan Jawa, Bugis dan Banjar. Orang cina disini pula kebanyakannya dari keturunan Teochew. Jumlah masyarakat india pula agak kecil di kawasan ini.
Terdapat 6 pekan utama selain bandar Pontian iaitu Pekan Nenas,Benut,Ayer Baloi,Sanglang,Pulai Sebatang dan Api-api.

Selamat Datang ke Pontian!!

Blog ini didedikasikan untuk Pontian. Sebuah daerah yang terletak di hujung benua asia. Sekiranya anda inginkan percutian yang sederhana atau suasana kampung yang menenangkan, anda boleh ke sini.

Anda juga boleh menikmati keenakan makanan laut di Kukup dan pelbagai lagi tempat yang menarik disini.
Semua gambar yang terpapar di ruangan blog ini adalah milik aryeasrall.com dan dilindungi di bawah hak cipta terpelihara. Segala penggunaan semula,penerbitan semula dalam apa jua bentuk,manipulasi dalam apa jua bentuk atau muat turun adalah tidak dibenarkan. Sila hubungi e-mail withmorechips@gmail.com untuk sebarang pertanyaan lanjut.