Keropok Lekor Tanjung Piai

Ini sesuatu yang menarik bagi penggemar keropok lekor. Jika anda ke Terengganu anda pasti membawa pulang keropok lekor bersama anda, maka jika anda ke Pontian jangan lupa singgah membeli keropok lekor Tanjung Piai.
Ia terletak di tepi jalan ke Taman Negara Tanjung Piai, tidak sampai 1km jika tidak salah.
Keropok lekornya sedap, lembut dan enak.
Tidak sempat mengambil gambar kerana cuaca terlalu panas.
Tapi jangan risau sebab ada papan tanda besar berhadapan dengan kedai mereka.

Muzium Bugis, Taman Rekreasi Sungai Rambah

Muzium Bugis merupakan suatu tarikan yang ada di Pontian. Ia terletak di Taman Rekreasi Sungai Rambah,Pontian. Sekiranya anda dari arah Johor Bahru, sebaik sahaja anda berada di persimpangan empat berhadapan dengan Mc Donald's, anda perlu bergerak ke arah kiri.

Dan sekiranya anda datang dari arah Benut, sebaik tiba di persimpangan yang sama, anda hanya perlu mengambil jalan terus.
Kemudian anda hanya perlu bergerak terus. Anda akan bertemu dengan papan tanda-papan tanda yang menunjukkan arah muzium bugis sehinggalah anda bertemu dengan papan tanda Taman Rekreasi Sg Rambah 500m.




Dalam jarak 500m anda akan bertemu dengan jambatan,perlahankan kenderaan anda kerana betul-betul selepas jambatan anda perlu membelok ke kanan untuk menuju ke Taman Rekreasi Sg Rambah.

Di Taman Rekreasi Sg Rambah, anda boleh membawa anak-anak bermain di taman permainan yang disediakan atau merehatkan minda di tepi pantai. Banyak kemudahan tempat duduk dan kawasannya agak menarik.

Namun apa yang saya ingin bawa kepada anda ialah tentang Muzium Bugis yang terletak di situ.

 Ia dibuka setiap hari sepanjang hari kecuali pada sebelah malam. Muzium ini diselenggarakan oleh orang perseorangan iaitu Encik Abdullah Ahmad yang juga bekas pegawai pengkaji di Johor Heritage Foundation.
Bertanya kepada beliau tentang waktu operasi muzium ini dan bilakah ia ditutup, beliau hanya ketawa dan
mengatakan hanya dua hari setahun iaitu ketika hari raya.
Dan sesuatu lagi yang menunjukkan komitmen dan minat beliau ialah kesemua koleksi ini sebenarnya ialah koleksi peribadi beliau yang dikumpulkannya sejak berusia 13 tahun walaupun sebahagian daripada koleksi awal beliau telah di curi oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Terdapat satu artikel akhbar melaporkan tentang kecurian ini yang turut di pamer di muzium ini.



Menurut beliau lagi, lokasi ini sebenarnya ialah lokasi yang keempat menempatkan koleksi bernilai ini.
Menurut beliau Muzium Bugis ini bukan sahaja menerima kunjungan dari orang awam yang datang tetapi juga sekolah-sekolah dan pusat-pusat pengajian tinggi.
Meneliti keseluruhan, muzium ini sebenarnya bukan sahaja mempamerkan warisan bugis tetapi warisan melayu yang kebanyakkannya sudah tidak diketahui oleh generasi muda. Contohnya pelita nyonya bersumbu yang menggunakan minyak tanah sebagai bahan bakarnya atau dapur kayu yang menggunakan kayu api dan dikipas untuk mengawal besar atau kecilnya api dapur.


Agak tersentuh hati sepanjang melewati setiap artifak dan tinggalan sejarah yang ada di muzium ini termasuk sepatah kata-kata Datuk Onn Jaafar.

Kita mungkin semakin maju dan moden cuma apa yang saya harapkan ialah kita tidak lupa asal usul kita dan kisah sejarah kita.
Kita jangan lupa bahawa kita pernah dijajah dan perjalanan untuk menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat itu penuh dengan duri dan ranjau.
Kita perlu ingat semua ini kerana kita mahu terus menjadi negara yang berdaulat dan manusia yang merdeka negaranya dan mindanya.







Semua gambar yang terpapar di ruangan blog ini adalah milik aryeasrall.com dan dilindungi di bawah hak cipta terpelihara. Segala penggunaan semula,penerbitan semula dalam apa jua bentuk,manipulasi dalam apa jua bentuk atau muat turun adalah tidak dibenarkan. Sila hubungi e-mail withmorechips@gmail.com untuk sebarang pertanyaan lanjut.