Jom ke Gunung Pulai

Pada sekitar akhir 90-an atau awal abad ke 21, Air terjun Gunung Pulai telah ditutup kepada orang ramai. Ini berikutan daripada kejadian "air besar" yang turun dari atas gunung. Disebabkan faktor keselamatan ia telah ditutup dan masih lagi sebenarnya ditutup kepada awam sehingga ke hari ini.


Gambar menunjukkan papan tanda amaran kepada pengunjung. Ini ialah sungai yang mengalir dari air terjun Gunung Pulai bersebelahan dengan rumah penduduk kampung.

Kunjungan terakhir saya ke sana lebih kurang dua bulan yang lalu mendapati pintu pagar utama ke atas masih lagi dikunci dan ditutup. Orang ramai terpaksa melalui laluan sendiri yang sempit dan curam di sebelah pintu pagar masuk atau menggunakan jalan di tepi sungai yang mengalir dari kawasan air terjun utama.
Disebabkan hujan yang mula turun saya terpaksa berpatah balik dan tidak sampai ke kawasan air terjun. Mungkin jika berkesempatan saya akan pergi lagi dan berkongsi dengan anda.


Air sungai masih bersih walaupun kadangkala agak keruh. Namun terdapat bekas-bekas plastik yang hanyut yang ditinggalkan oleh pengunjung yang tidak bertanggungjawab.

Kali terakhir saya pergi ketika kawasan Air Terjun Gunung Pulai ini masih dibuka untuk awam ialah sekitar tahun 1995 ketika mengikuti lawatan sekolah untuk projek Geografi PMR.
Bagi yang tidak tahu bagaimana untuk ke kawasan Gunung Pulai ini,sebanarnya sekarang mudah sahaja. Jika anda dari lebuhraya, keluar melalui tol Kulaijaya. Sebaik sahaja keluar dari tol, di bahagian kanan anda ada sebatang jalan yang menuju ke kawasan Gunung Pulai. Anda hanya perlu jalan terus sehingga bertemu dengan pintu gerbang ke kanan.
Disebabkan pintu ke bahagian air terjun ditutup, anda boleh meletakkan kereta anda di bahagian yang telah disediakan oleh penduduk kampung dan di kiri kanan jalan. Bayaran parking adalah RM2 tetapi kadang-kadang anda tidak perlu membayarnya kerana tidak ada sesiapa yang mengutip duit bayaran tersebut.



Jika anda bimbangkan keselamatan anda untuk ke bahagian atas, anda boleh menyusuri sungai di bahagian bawah bersebelahan dengan rumah penduduk kampung.
Gambar-gambar di dalam post ini adalah sebenarnya dari bulan Julai tahun 2011. Pada kunjungan yang terbaru, tidak sempat merakamkan sebarang gambar disebabkan hujan.

Nasihat saya sebelum anda bertolak ke Gunung Pulai. Bawalah plastik sampah. Pastikan anda tidak meninggalkan sampah sarap anda di sana. Sama-samalah memelihara alam sekitar kita ya.






Semua gambar yang terpapar di ruangan blog ini adalah milik aryeasrall.com dan dilindungi di bawah hak cipta terpelihara. Segala penggunaan semula,penerbitan semula dalam apa jua bentuk,manipulasi dalam apa jua bentuk atau muat turun adalah tidak dibenarkan. Sila hubungi e-mail withmorechips@gmail.com untuk sebarang pertanyaan lanjut.